Sumber text: Fb Maulana Asri.

Golongan Ahli As-Sunnah Wa Al-Jama'ah adalah kelompok yang dimaksudkan oleh Rasulullah s.a.w. sebagai kelompok yang selamat. Ketika ditanya tentang kelompok yang selamat, Rasulullah s.a.w. menjawab, “Al-Jamā`ah." (Ĥadīts riwayat Abu Daud, Ibnu Majah, Ahmad, at-Thabarani dan Ibnu Abi Aashim). Pada ketika yang lain pula Baginda s.a.w. menjelaskan tentang kelompok yang selamat itu dengan bersabda:"Mereka ialah golongan yang mengikutiku dan para Shahabatku." (Ĥadīts riwayat Tirmidzi, al-Ĥākim, at-Thabarani dan al-Baghawi di dalam Syarh as-Sunnah).


Mereka dikatakan kelompok yang selamat kerana berpegang teguh dengan al-Qur'an dan Sunnah Nabi s.a.w. serta menjadikan para Shahabat Baginda sebagai generasi contoh. Golongan inilah yang merupakan majoriti umat Islam di dunia dari dahulu hingga ke hari ini. Jika diperhatikan dengan saksama, golongan inilah yang memahami al-Qur'an dan as-Sunnah dengan tepat dan mempraktikkannya sebagaimana dikehendaki Allah dan RasulNya.


Ahli As-Sunnah Yang Terlibat Secara Langsung Dalam Perbahasan Ilmu `Aqidah .


Di kalangan Ahli as-Sunnah Wa al-Jama'ah tokoh-tokoh yang terlibat secara langsung dalam perbahasan ilmu Tauhid dan ilmu 'aqidah secara ringkasnya dapat dibahagikan kepada dua kumpulan sahaja. Iaitu golongan Ahlul Hadits dan golongan Mutakallimin.


Tokoh golongan Ahlul Hadits ialah Imam Ahmad bin Hambal m.241H. Kerana itu mereka juga dikenali dengan golongan Hanabilah. Di zaman sekarang ini mereka juga disebut sebagai golongan Salafiyyah, kerana kecenderungan mereka berpegang dengan 'aqidah Salaf.


Golongan Mutakallimin itu terbahagi pula kepada dua kumpulan besar. Iaitu al-Asya'irah dan al-Maturidiyyah. Tokoh utama al-Asya'irah ialah Abul Hasan al-Asy'ari m.330H. Dan tokoh utama al-Maturidiyyah pula ialah Abu Manshur al-Maturidi m.333H. Imam Abul Hasan al-Asy'ari dan Abu Manshur al-Maturidi hidup sezaman dengan Imam at-Thahawi, seorang tokoh Ahlul Hadits.


Ahlul Ĥadīts lebih mengutamakan dalil-dalil Sam'iyyat atau dalil-dalil naqli berbanding dalil-dalil 'aqli dalam persoalan aqidah. Mereka pada umumnya berpegang dengan zahir nas tanpa menta'wilkannya dan menyerahkan ma'na sebenarnya kepada Allah s.w.t., terutamanya yang berkaitan dengan sifat-sifat Allah dan perkara-perkara ghaibiyyāt. Tokoh-tokoh Salaf dari kalangan muhadditsin dan imam-imam madzhab selain Imam Ahmad juga menjadi rujukan mereka, seperti Imam Abu Hanifah, Mālik dan Syafi'e.


Golongan Mutakallimin pula menjadikan dalil-dalil Sam'iyyat dan 'aqliyyat kedua-duanya sekali sebagai asas istidlal (pendalilan) mereka. Sesuatu yang telah tsābit(terbukti) dengan al-Qur'an dan hadīts diperkuat mereka dengan dalil-dalil `aqli. Nas-nas mutasyābihat yang mungkin sekali menimbulkan kekeliruan kepada `aqal manusia dita'wil mereka dengan ta'wilan-ta'wilan sewajarnya, sehingga hilanglah kekeliruan dan tunduklah 'aqal kepada dalil-dalil naqli.


(Lihat Ithaf as-Sadati al-Muttaqin j.2 m/s 6, Syarh an-Nawawi 'Ala Shahih Muslim j.2 m/s 19 & j.6 m/s 36-37, Kasyful Bāri j.1 m/s 559-561, Nashrul Bāri j.1 m/s 173-174)


Petikan Muka Surat  254:


Shahih Al Bukhari Kitab Wahyu -Kitab Iman


Terjemahan dan Ulasan: Maulana Asri


Dapatkan di shopee:

https://shopee.com.my/product/16063104/19000752380?smtt=0.111157292-1665714353.9

Post a Comment

أحدث أقدم